Kisah Teladan : Orang Baik, Nampak yang Baik-baik

Seorang perantau memasuki sebuah desa. Sebelum pergi lebih jauh ke dalam desa itu, dia telah bertemu dengan seorang tua. 

"Bagaimana perangai orang-orang kampung di sini pak cik?" Tanyanya. 

"Oh, kamu orang baru ya? Sebelum pakcik jawab soalan kamu tu, pakcik ada satu pertanyaan. Boleh pakcik bertanya?"

Perantau itu kehairanan. Apa pula yang ada dalam fikiran orang tua itu.

"Baiklah pakcik. Apa soalannya?"

Bagaimana perangai orang kampung asal kamu sendiri?"

Pemuda itu terdiam sejenak."Orang kampung saya teruk-teruk pakcik, perangai mereka tak senonoh langsung. Asyik bergaduh, mengumpat dan bergaduh sesama sendiri. Saya harap orang kampung ni tidak seperti itu."

"Sayang, harapan kamu tidak akan kesampaian. Orang kampung ini macam itulah juga. Kamu tersilap pilih nak. Sepatutnya kamu tak datang ke kampung ini," jawab pakcik tua itu.

"Tak apalah kalau begitu pakcik. Saya tumpang minum sahajalah di warung sebelah ni. Saya akan cepat-cepat meninggalkan kampung ini."

Orang tua itu senyum dan mengangguk-angguk.

Selang beberapa lama kemudian, seorang perantau lain memasuki kampung itu menemui pakcik yang sama. Kebetulan soalan juga sama dengan perantau pertama, maka ditanya juga oleh pakcik itu soalan yang sama.

Jawabnya,"Orang kampung saya baik-baik. Semuanya saling bantu membantu, peramah dan berkasih sayang."

"Kalau begitu mengapa kamu merantau keluar?"

"Saya ingin mencari pengalaman. Err .. Pakcik, kembali kepada soalan saya tadi. Bagaimana perangai orang kampung ini?"

"Oh, bagus. Baik. Orang kampung ini semuanya saling berkasih sayang dan bantu membantu."

"Syukur. Kalau begitu tidak salah saya memilih untuk mencari pengalaman di sini."

Perbualan antara perantau kedua dan pakcik itu didengari oleh perantau pertama yang sedang minum di warung berhampiran. Dia hairan dan sedikit berang. Adakah pakcik itu mempermainkannya?

"Kenapa pakcik berbohong? Dengan saya kata lain, dengan dia kata lain?"

"Maaf nak, pakcik tidak berbohong."

"Habis kenapa jawapan pakcik berbeza?"

"Pakcik jawab mengikut keadaan orang bertanya."

"Maksud pakcik?"

"Jika orang itu baik, dia akan nampak banyak kebaikan. Sebaliknya, jika orang itu tidak baik, dia akan nampak banyak kejahatan dan keburukan. Kita melihat dengan mata hati kita. Jika mata hati kita bersih, insyaallah kita akan dapat melihat banyak kebaikan."

Pengajaran : Apa yang kita lihat bergantung kepada diri kita. Sebab itulah berprasangka buruk itu dilarang keras oleh agama. Dalam pergaulan, kita mesti belajar meletakkan sangka baik dan memberi alasan untuk memaafkan kesalahan orang lain. Bagaimana kita akan mendapat kebaikan daripada seseorang sekiranya apa yang kita lihat ada padanya hanya keburukan semata-mata?

Comments

Mek Onie said…
BETUL KAK....YG PENTING SIFAT SANGKA BURUK HARUS DIKIKIS
mila said…
sangat2 berguna entry ni..baru terfikir..huhu
PetakBunga said…
sejak 2 menjak ni aku berazam utuk berfikiran positf, melihat dari sudut positif..
insyallah semua sekeliling aku akan jd positif tak lama lagi insyallah..

kita apa yg kita nampak.
ct cheery said…
hahaha..kalakar but sweet